Translate

Sunday 3 November 2013

Kisah Pengusaha Kerepek Bermodal RM200

Oleh:LAUPA JUNUS (Wartawan Utusan)
BERBEKALKAN modal sebanyak RM200, Azhar Rasnan,38, tidak menyangka projek tradisi turun-temurun membuat kerepek kini menjadikan beliau layak digelar usahawan muda.
Azhar, pengurus syarikat Azhar Food Supplier yang telah mula terkenal di Batu Pahat, Johor mengambil alih usaha membuat kerepek daripada bapanya, Rasnan Ridzwan bermula pada 1991.
``Bapa saya sudah mengusahakan perusahaan membuat kerepek secara kecil-kecilan sejak 20 tahun lalu, '' katanya ketika ditemui di kilang membuat kerepek di Rengit, Batu Pahat.
Azhar berkata, beliau memulakan kerja secara kecil-kecilan dengan dibantu oleh isterinya Mariam Boon,37, mengusahakan pembuatan kerepek di belakang rumah mereka.
``Saya yakin usaha ini mempunyai prospek cerah sebab itu saya bertekad mengusahakannya walaupun bermula secara kecil-kecilan,'' katanya.
Pada masa itu, beliau menghantar kerepek terus kepada pengedar.
Kini kata Azhar setelah perusahaan dikembangkan, beliau menggaji 23 pekerja bagi meningkatkan pengeluaran memandangkan permintaan semakin meningkat.
Tiga produk utama yang dihasilkan ialah kerepek pisang, ubi dan keledek.
``Semua pekerja ini ditempatkan mengikut bahagian masing-masing iaitu pengupasan, pemotongan dan pencucian, pengeringan air, menggoreng, pengeringan minyak dan pembungkusan,'' katanya.
Azhar kini mempunyai empat buah mesin termasuk mesin pemotongan, pengeringan air, menggoreng dan pengeringan minyak.
Ia hanya beroperasi enam hari seminggu dengan kemampuan pengeluaran bergantung kepada jenis bahan mentah yang diproses pada hari berkenaan.
``Setiap hari hanya satu produk kerepek yang dihasilkan,'' katanya.
Menurut beliau, kerepek ubi dihasilkan pada Isnin, Selasa dan Rabu, kerepek pisang pada hari Jumaat dan kerepek keledek pada Sabtu.
Katanya, nisbah penggunaan bahan mentah dan penghasilan kerepek ialah 3:1 iaitu sekiranya bahan mentah yang digunakan sebanyak satu tan maka kerepek yang dihasilkan sebanyak 300 kilogram.
Azhar berkata, beliau akan menggunakan dua tan pisang setiap kali tiba giliran memproses kerepek pisang dan tiga tan bagi memproses ubi dan keledek.
Bahan mentah diperoleh oleh Azhar daripada ladang pembekal dari kawasan sekitar Batu Pahat.
Bagaimanapun Azhar juga sedang mengusahakan tanaman ubi seluas 12 hektar di Bandar Tenggara, Johor sebagai bekalan mentah kepada perusahaannya.
Manakala bekalan bahan mentah seperti pisang dan keledek diperoleh daripada penanam di sekitar kawasan itu.
Selain mengeluarkan kerepek keledek ubi dan pisang, Azhar Food Supplier terbabit dalam mengedar makanan ringan lain dengan kerjasama syarikat tempatan melalui kaedah tukar barang.
Beliau turut mempelbagaikan perasa kerepek keluaran syarikatnya dengan menggunakan perasa sotong.
Mengenai pemasaran, Azhar berkata, kerepek hasil keluaran syarikatnya dipasarkan secara jualan terus, melalui ejen pengedar dan secara borong.
Beliau bagaimanapun enggan memberitahu jumlah jualan yang diperoleh setiap bulan.

Walaupun terdapat persaingan daripada pengusaha sekitar kawasan tersebut, beliau yakin dengan meningkatkan nilai tambah kepada produknya, ia tetap mendapat sambutan termasuk dari Singapura.


Artikel Penuh: 
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0730&sec=Rencana&pg=re_07.htm#ixzz2fbFUS2Ki
© Utusan Melayu (M) Bhd 


No comments:

Post a Comment